Arni Nazira tamatkan status ibu tunggal

Posted by Admin | 9:07 PM | 0 comments »


KUALA TERENGGANU: Selepas kira-kira tiga tahun bergelar ibu tunggal, bekas pelakon dan penyanyi, Arni Nazira Anwar, 31, akhirnya menamatkan status itu apabila selamat dinikahkan dengan bekas kekasih lamanya yang juga seorang ahli perniagaan, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar, 32, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan jurunikah Mukim Bukit Besar, Ahmad Awang di Masjid Negeri dengan mas kahwin RM100 dan hantaran sebanyak RM7,777.77 dengan disaksikan kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga terdekat pengantin.

Turut serta dua anak Arni daripada perkahwinan dengan vokalis kumpulan Wings, Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie, Puteri Aleeya Antasha, 9, dan Puteri Aleefa Antasha, 7.

Pihak lelaki menghantar sembilan dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pengantin perempuan.

Dengan sekali lafaz, Wan Mohd Hazrie kini menjadi suami Arni yang sebelum ini pernah popular dengan lagi `Antara Dua Benua', kira-kira jam 3.40 petang.

Arni yang berpakaian kebaya putih menitiskan air mata kegembiraan sebaik selesai majlis akad nikah, manakala Wan Mohd Hazrie menunaikan solat kesyukuran selepas bersalaman dengan ibu dan bapa serta kaum keluarga.

Dengan perkahwinan itu, Arni terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan apabila Wan Mohd Hazrie tidak lagi membenarkan isterinya terbabit dengan lakonan dan nyanyian, melainkan memenuhi undangan pertunjukan fesyen yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

0 comments