Showing posts with label Artis. Show all posts
Showing posts with label Artis. Show all posts

Adlin-Emelda selamat diijabkabulkan

Posted by Admin | 8:07 AM | , | 0 comments »

Dengan sekali lafaz, pengacara dan pelakon Adlin Aman Ramlie, 37, sah bergelar suami kepada aktres Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29.

Mereka dinikahkan oleh penolong pendaftar perkahwinan, penceraian, rujuk kawasan PGA Ulu Kinta, Zainudin Abu Arshad di Masjid An-Nur, Batu 8, di sini, tepat pukul 5.28 petang tadi.

Dalam majlis yang berlangsung secara sederhana itu, Emelda menerima wang hantaran RM30,000, mas kahwin RM1001 serta tujuh dulang hantaran daripada Adlin.

Antaranya adalah kamera digital, senaskhah al-Quran, set wangian, beg tangan dan kasut, dan sirih junjung.

Sementara itu, Adlin menerima sembilan dulang hantaran daripada Emelda seperti beg silang, senaskhah al-Quran, jam tangan, dan kasut.

Adlin dan Emelda yang mengenakan persalinan berwarna putih rekaan Calvin Thoo kelihatan gembira dan teruja setelah selesai diijabkabulkan.

"Saya sangat seronok dan teruja kerana dalam tempoh empat tahun bersama Mel, sebagai lelaki memang saya mencari pasangan yang dirasakan sesuai.

"Apabila dapat bertunang dan nak berada di alam bersama dia, saya rasa bangga kerana akan mengahwini perempuan yang saya kenal luar dan dalam.

"Semasa diijabkabulkan, saya rasa sangat 'excited'," luah Adlin dalam satu sidang media di rumah keluarga Emelda di Kampung Melayu, Batu 8, di sini
Dalam pada itu, Emelda berkata sebelum itu, dia berasa sebak kerana tidak dapat berkongsi hari bahagia bersama ayahanda tercinta, Abdul Hamid Mad Ally yang meninggal dunia pada Februari tahun lalu.


"Saya rasa sedih sebab bapa tiada kerana saya dengan arwah sangat rapat.

"Selepas itu, saya rasa lega kerana selalunya perempuan akan berasa lebih risau daripada lelaki. Alhamdulillah, majlis nikah pun telah selesai.


"Saya rasa tak salah pilih orang (Adlin) dan selalu yakin yang dia akan menjadi suami saya dalam empat tahun kami bersama," ujar Emelda.

Majlis yang dihadiri oleh 200 orang tetamu itu turut dihadiri oleh ahli keluarga kedua belah mempelai iaitu ibu Emelda, Rokiah Ibrahim, 63, ibu Adlin, Ruminah Sidek, 63, kakak Emelda, pelakon Emylia Rosnaida dan suami, pengacara AF7, AC Mizal serta pelakon dan penyanyi Aqasha.

Pasangan pengantin yang menyemai cinta sejak empat tahun lalu itu mengikat tali pertunangan mereka pada 14 Mac lalu sempena tarikh lahir Emelda.

Majlis resepsi sebelah Emelda pada esok hari di Dewan Banquet SUK Perak, di sini turut mengambil sempena tarikh lahir Adlin yang jatuh pada 23 Mei.

Sementara itu, majlis resepsi sebelah Adlin dijangka akan diadakan pada 21 Jun depan di Meru, Klang secara ‘rewang’ iaitu kenduri gotong-royong.

Dipetik dari MStar Online

Teruskan bacaan......

Aboy 'eratkan' kasih Zamarul dan Diana

Posted by Admin | 8:34 PM | | 0 comments »

SUDAH cukup lama hubungan cinta yang terjalin antara dua pelakon ini. Malah dalam tempoh lapan tahun menyulam kasih, Zamarul Hisham, 38, dan Diana Rafar, 27, tidak terlepas berdepan dengan pelbagai onak ranjau yang cuba menggugat keutuhan cinta mereka.

Paling hangat diperkatakan tidak lama dulu ialah 'kontroversi' cinta tiga segi Diana yang telah dikaitkan dengan penyanyi sensasi, Mawi. Namun, dugaan demi dugaan yang singgah itu sebenarnya telah menguatkan lagi hubungan suci Zamarul dan Diana.

Akhirnya, pada tanggal 16 Mei lalu, pasangan ini selamat diijabkabulkan dan sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz oleh Zamarul di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

"Saya bersyukur, lega dan amat gembira kerana akhirnya kami disatukan juga setelah lapan tahun mempertahankan benteng hubungan ini.

"Memang ini adalah tarikh yang istimewa buat saya. Malah, angka 165 itu ada makna tersirat kerana ia membawa maksud satu ihsan, enam rukun Iman dan lima rukun Islam.

"Angka itu yang memberi kekuatan kepada kami. Dan sebab itu, kami memilih tarikh 16 Mei serta mas kahwin RM165 dan wang hantaran, RM16,500," kata Zamarul yang kelihatan cukup sebak sebaik akad nikah itu selesai.

Menurut duda anak dua ini lagi, dia merasakan sudah sampai masanya untuk melamar kekasih hatinya itu, lebih-lebih lagi setelah mereka menghadiri sebuah kursus pada awal tahun ini.


"Kursus motivasi itu sebenarnya telah mengeratkan lagi hubungan kami dan dari situlah saya yakin memang dialah (Diana) orangnya yang ingin saya jadikan sebagai isteri.

"Kepada Mama (Diana), Papa ingin ucapkan terima kasih kerana memahami diri Papa selama ini. Kita berjaya bertahan juga walaupun ada yang cuba robohkan hubungan kita," tutur Zamarul.


Diana juga turut memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar dan kini sah bergelar isteri kepada Zamarul.

"Selama lapan tahun ini, dia seorang yang amat mengambil berat tentang saya. Apa yang saya harapkan, semua yang diberikannya selama tempoh itu tidak akan berubah selepas ini," tutur Diana.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Diana yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Shahril Nordin turut menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pihaknya.

Momen bersejarah pasangan mempelai itu juga disaksikan oleh kira-kira 100 orang tetamu termasuklah ibu Diana, Zainon Abd Rahman, ibubapa Zamarul iaitu Mohammad Mohd Zain dan Zaleha Abd Rahman serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang lain dan kenalan rapat mereka.

Malah, dalam nada ceria, Zamarul berkata, perkahwinan itu turut direstui oleh anak-anaknya iaitu Izzat Haiqal, 10, dan Iqmal Haiqal, 7. Malah, anak sulungnya, Izzat, yang turut hadir pada majlis itu juga sebenarnya amat rapat dengan Diana yang dipanggil Mama itu.

"Izzat ni ibarat 'kawan baik' Diana. Memang dia mahukan sangat kami berkahwin. Malah, dia asyik bertanya bila dia akan dapat adik baru," katanya yang menambah, dia dan Diana memilih cara berbulan madu dengan mengerjakan umrah tidak lama lagi.

Seperti mana Zamarul, Diana juga gembira dengan penerimaan Izzat terhadap dirinya. Bagi Diana, dia tidak kisah dengan status ibu 'segera' yang dipegangnya kini, apatah lagi hubungannya dengan Izzat yang dipanggil Aboy itu sememangnya cukup rapat.

"Sejak tahun pertama saya mengenali Zamarul, dia sudah kenalkan saya dengan Aboy yang memang berada di bawah jagaan ibu Zamarul sendiri. Keluarga saya juga menyenangi Aboy kerana wajahnya yang ada iras anak-anak buah saya yang lain.


"Malah, kalau antara saya dan Zamarul ada tercetus pergaduhan, Aboylah yang akan cuba merapatkan kami semula dengan pelbagai cara," kata Diana yang setakat ini belum pernah bertemu dengan anak kedua Zamarul yang berada di bawah jagaan bekas isterinya.

Perasaan gembira itu turut dikongsi dengan Aboy sendiri yang mengakui amat gembira kerana impiannya untuk melihat bapanya berkahwin dengan Diana sudah tercapai.

"Saya seronok sangat dapat Mama 'baru'. Mama (Diana) seorang yang baik. Dia selalu bawa saya berjalan-jalan. Saya doakan Papa dan Mama bahagia.

"Harap-harap saya akan dapat adik baru juga...kalau boleh, biarlah perempuan," kata Izzat yang merupakan pelajar tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Dua, Bandar Baru Bangi ini.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan pasangan ini kelak, kata Zamarul, dia dan Diana akan tetap meneruskan karier seni mereka seperti biasa selepas ini.

"Saya tetap berlakon dan turut beri lampu hijau untuk Diana teruskan karier seninya. Lagipun, kami sudah lama berada dalam industri ini.

"Tetapi jika sudah ada cahaya mata kelak, kenalah kami berbincang dan susun semula masa agar dapat diseimbangkan antara karier dan keluarga," kata Zamarul.

Selepas dinikahkan, pasangan ini turut diraikan pada majlis persandingan berkonsepkan 'garden wedding' pada sebelah malamnya di Bougainvilla Garden, Shah Alam manakala majlis resepsi di pihak pengantin lelaki pula akan diadakan pada 23 Mei di rumah keluarga Zamarul di Bangi.

Teruskan bacaan......

Bekas suami dedah hubungan sulit Norish

Posted by Admin | 10:46 AM | , | 0 comments »

BEKAS suami Norish Karman semalam mendedahkan hubungan sulit yang berlaku antara aktres itu dengan kekasihnya, Mohd. Luqman Mohd. Amin.

Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 61, berkata beliau pernah memberi amaran kepada Luqman agar memutuskan hubungan dengan bekas isterinya pada Oktober 2007.

Dalam nada sinis, kata Hashimuddin, ‘Mula-mula tu, bunga baru nak mekar’.

“Saya cakap kepada Luqman yang perbuatannya salah disisi undang-undang syarak kerana NK (Norish) mempunyai anak-anak dan merupakan isteri saya.

“Luqman bersimpati dengan NK kerana dia hidup dalam keperitan. Saya tanya semula apakah keperitan yang dimaksudkan?

“Lalu saya memberi amaran kepadanya agar tidak berjumpa dengan NK lagi,” jelas Hashimuddin dalam sidang media di pejabatnya, Perspec Prime (M) Sdn. Bhd., Ampang, Kuala Lumpur.

Tidak lama selepas itu, Hashimuddin bersua dengan adik Luqman, penyanyi Farahdhiya dan bapanya, Mohd. Amin.

“Sebelum kami berjumpa, saya bercakap dengan Farahdhiya tentang hal ini dan dia pun baru mengetahuinya selepas melihat gambar NK dalam telefon bimbit Luqman.

“Apabila berjumpa, Farahdhiya dan bapanya menyuarakan rasa tidak senang hatinya dan nekad hendak membuat sesuatu tetapi tiada apa-apa yang dilakukan.

“Saya redha dan rela dengan perpisahan ini. Saya halalkan makan minumnya tetapi tidak redha dengan apa yang dilakukan sekarang sehingga orang menuduh saya kejam terhadap anak-anak,” luah pengerusi eksekutif syarikatnya itu.


Tambahnya, "Luqman sering menginap di rumah saya dan dia pernah membuat hubungan sulit dengan NK semasa masih menjadi isteri saya.

"Pada bulan Mac, saya mempunyai bukti NK bercuti bersama Luqman dan anak-anak saya di Pulau Tioman sehingga anak-anak tidak bersekolah tanpa izin saya.

"Mereka juga mengakui sebagai suami isteri. Bila mendapat tahu, saya terpanggil untuk selamatkan anak-anak sebab tidak mahu mereka terdedah dengan perkara di luar hukum syarak.

"Saya ingin selamatkan anak-anak dan tidak mahu mereka digunakan untuk 'coverline'. Saya tak peduli kalau NK dan Luqman nak bercinta."

Justeru, Hashimuddin berkata pada 22 April lalu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah mengeluarkan perintah tidak membenarkan Luqman menghampiri anak-anaknya berdasarkan pergaulan 'luar biasa' itu.

Katanya, perkara itu akan dibangkitkan semasa perbicaraan pada 17 Jun nanti.

Namun begitu, bukan bermakna sidang media yang diadakan itu bertujuan untuk membuktikan NK curang kepadanya.

“Saya tidak berniat membuktikan dia (Norish Karman) curang. Saya hanya nak betulkan perkara yang tidak betul dengan mengeluarkan senarai kemudahan-kemudahan serta nafkah yang saya berikan kepada NK untuk anak-anak.

“Saya terpaksa cakap sebab apa yang ditimbulkannya dalam akhbar sebelum ini menyebabkan isteri pemimpin dan rakan-rakan saya menggambarkan saya seorang bapa yang kejam dan zalim serta meninggalkan anak-anak dalam suasana yang menyedihkan.

“Mereka menyoal saya, bagaimana saya yang pernah menolong ibu tunggal dan anak orang miskin sebelum ini boleh melakukan perbuatan seperti ini terhadap anak-anak sendiri,” jelasnya.

Menurutnya, ada dua isu yang dia ingin perkatakan iaitu isu nafkah dan isu kereta Murano.

Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Hashimuddin mengenai kemudahan-kemudahan serta nafkah yang diberikan kepada NK untuk anak-anak:

1. Wang saku

Wang tunai berjumlah RM700 sebagai wang saku untuk anak-anak. Sekiranya tidak mencukupi, boleh menghubungi Setiausaha Hashimuddin di pejabat kerana ada peruntukan ‘petty cash’ yang disediakan apabila perlu.

2. Keperluan harian

Bekalan makanan serta barang-barang keperluan dapur berjumlah RM700 hingga RM1,000 seminggu yang dikirimkan oleh Hashimuddin sendiri atau melalui pemandunya.

3. Kenderaan

Kemudahan kenderaan pendaftaran BJN 17 beserta pemandu bagi menghantar serta mengambil pulang dari sekolah termasuk juga kelas-kelas tambahan serta aktiviti-aktiviti. Begitu juga Hashimuddin mengizinkan NK menggunakan kenderaan itu untuk tujuan tertentu sekiranya perlu.

Jadual kenderaan beserta pemandu yang disediakan adalah pada hari Isnin hingga Sabtu di mana ada ketikanya hari Ahad sekiranya perlu. Kebiasaannya, Hashimuddin bersama anak-anak pada hari Ahad mulai pukul 6 pagi hingga 7 petang.

Pemandu ini sentiasa berada di keadaan ‘standby’ sekiranya berlaku apa-apa kecemasan maka NK boleh menghubungi serta menggunakan kenderaan beserta pemandu itu untuk tujuan kecemasan atau hubunginya dalam masa 24 jam.

4. Pembantu rumah

Wang sejumlah RM700 yang dibayar terus kepada pembantu rumah atau pun di kreditkan terus ke akaun pembantu di Filipina melalui Western Union.

5. Perkhidmatan telefon kediaman

Memasang serta membayar dan menjelaskan bil telefon termasuk kemudahan internet anggaran kira-kira RM500 hingga RM 600 sebulan.

6. Keperluan Perubatan

Ketiga-tiga anak serta NK didaftarkan di Hospital Subang Jaya Medical Centre (SJMC) di mana anak-anak boleh mendapatkan perkhidmatan perubatan pada bila-bila masa termasuklah NK sendiri. Nama NK sehingga kini masih belum lagi dibatalkan bagi memudahkan beliau menjalani serta mendapatkan perubatan di SJMC. Sekiranya perlu ke klinik berdekatan, NK boleh menghantar bil ke pejabat dan akan diganti kos perbelanjaan perubatan itu.

Sekiranya berlaku apa-apa kecemasan, NK boleh menghubungi Setiausaha Hashimuddin bagi mendapatkan bantuan serta keperluan yang diperlukan.

7. Yuran persekolahan

Segala-gala yuran sekolah, kelas-kelas lain ditanggung oleh Hashimuddin selama ini, termasuk buku-buku dan pakaian sekolah.

8. Pakaian anak-anak

Segala keperluan pakaian anak-anak adalah ditanggung oleh Hashimuddin di mana dia membeli sendiri pakaian bersama anak-anak.

Bantuan kewangan sekitar penceraian

1. Atas ehsan, sejumlah RM5,000 diberi selama 3 bulan (berjumlah RM15,000) bagi bayaran edah. Sepanjang NK bergelar isteri Hashimuddin , dia mendapat RM3,000 sebulan.

2. Memberi wang tunai sejumlah RM9,000 bagi membiayai kos deposit rumah sewa NK di Beverly Residence.

3. Selepas berpisah, NK masih tinggal di Tropicana yang dibiayai oleh Hashimuddin berjumlah RM5,000 sebulan, 3 bulan sehingga dia berpindah ke tempat baru.

4. Hashimuddin membantu membayar kos pembungkusan serta pengangkutan bagi tujuan pemindahan berjumlah RM3,000 dari Tropicana ke tempat kediaman baru.

5. Hashimuddin juga telah membantu membeli perabot untuk kediaman di Beverly Residence berjumlah RM7,000 dari kedai perabot IKEA.

Menyentuh tentang isu kereta Nissan Murano, Hashimuddin berkata dia terpaksa menarik balik kereta itu kerana NK telah mengingkari perjanjian dan tidak membayar cukai jalan kereta.

“Pada mulanya, saya izinkan dia menggunakan kereta itu dengan syarat ia tidak boleh digunakan oleh mana-mana lelaki.

“Saya tengok kereta ini sering diguna dan disimpan di rumah Mohd Luqman seolah-olah keretanya sendiri.

“Apabila saya menegur, NK kata saya cemburu. Tetapi saya terpaksa menarik kereta itu kerana dia ingkar dan tidak membayar ‘road tax’.

“Sekarang, kereta itu berada dengan saya dan saya telah menghabiskan lebih RM2800 untuk membaiki kereta itu kerana ia telah ‘bengkang-bengkok’,” katanya.

Selepas menjelaskan hal tersebut, Hashimuddin nekad untuk tidak memberikan apa-apa komen lagi selepas ini sehingga menunggu keputusan perbicaraan tuntutan nafkah pada 17 Jun depan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

“Saya tak nak panjangkan dan buka cerita lagi. Kalau lepas ni dia nak jawab, terpulanglah kerana bagi saya kebenaran tetap kebenaran.

“Jika selepas ini ada lagi yang tidak betul, saya bersedia untuk disaman,” tegasnya.


Sumber : MyStar Online

Teruskan bacaan......