Showing posts with label Kekeluargaan. Show all posts
Showing posts with label Kekeluargaan. Show all posts

Seks semasa hamil

Posted by Admin | 11:27 AM | , | 0 comments »

ADALAH sesuatu yang normal bagi suami isteri memikirkan kesan hubungan kelamin ke atas janin mereka apabila seseorang wanita disahkan hamil dan bakal bergelar ibu buat kali pertama.

Dalam pada kehamilan memberikan satu dimensi baru kepada kehidupan seksual pasangan, namun bagi sesetengah yang lainnya pula, ia menimbulkan beberapa masalah dan memerlukan perhatian.

“Adakah selamat untuk melakukan hubungan seks semasa hamil?”. “Tidakkah nanti suami akan memberikan tekanan berlebihan ke atas perut isteri?” “Isteri mungkin kurang selesa malah berasa sakit,” “Bolehkah tusukan zakar membahayakan janin?”

“Bagaimana pula dengan orgasma? Adakah ia boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang?”, “Sebarang jangkitan kepada bayi?” merupakan antara soalan lazim yang sering berlegar-legar di fikiran.

Tidak kurang juga yang berasa pelik dan segan untuk meneruskan hubungan intim kerana merasakan seolah-olah bayi dalam kandungan tahu aktiviti apa yang sedang mereka lakukan.

“Malulah, nanti baby nampak abah punya,” ujar seorang ibu yang naif sambil tersenyum simpul menceritakan kembali pengalamannya mengandung anak sulung.

Keinginan terhadap seks juga boleh jadi turun naik dari bulan ke bulan atau trimester ke trimester.

Selain nafsu si isteri yang berubah-ubah mengikut hormonnya terutama ketika mengalami alahan mengandung, dorongan seks sang suami pula ada yang semakin bertambah selari dengan perubahan fizikal pasangannya.

Ada sesetengah lelaki yang merasakan perut isteri yang memboyot tampak seksi dan erotik. Mereka juga lebih terangsang apabila mencuba teknik-teknik hubungan kelamin yang berbeza.


Kecualilah doktor menasihatkan anda sebaliknya disebabkan oleh kehamilan yang berisiko tinggi, seks semasa hamil adalah selamat sehinggalah air tetuban pecah saat mahu bersalin.

Dan seperti suami isteri lain yang bakal menjadi ibu bapa, anda mungkin mempunyai beberapa pertanyaan berkaitan tahap keselamatan melakukan seks dan apakah yang normal dan tidak normal bagi kebanyakan pasangan.

Kemusykilan anda dijawab oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam Selangor, Dr. Norleen Mohd. Salleh.

“Seks semasa hamil selamat dilakukan sekiranya tiada kontraindikasi dari aspek perubatan seperti pendarahan awal semasa hamil yang disebabkan oleh sematan uri pada bahagian bawah rahim (plasenta previa).

“Masalah perubatan lain termasuklah asma atau lelah yang tidak terkawal atau masalah jantung yang tidak menggalakkan ibu melalui aktiviti fizikal yang berat termasuk hubungan kelamin.

“Selalunya doktor yang merawat akan memberi nasihat yang sewajarnya,” ujar beliau.

Menurutnya, jika kehamilan mengalami pendarahan dan doktor bimbang tentang kesihatan janin, hubungan kelamin tidak digalakkan kerana faktor fizikal dari tusukan semasa hubungan kelamin boleh membawa kepada keguguran.

“Kepercayaan turun-temurun mengatakan hubungan kelamin boleh mencederakan bayi dan air mani menyebabkan kecacatan adalah tidak benar.

“Ini kerana, bayi terasing dan selamat di dalam selaput karung tetuban yang terletak di dalam rahim, sedangkan tusukan organ lelaki semasa hubungan kelamin hanya sampai paras liang vagina dan pangkal rahim belum terbuka sebelum waktu kelahiran.”

Namun, ujar Dr. Norleen, air mani lelaki ada mengandungi bahan prostaglandin yang mempunyai ciri-ciri merangsang kontraksi atau pengecutan berlaku.

Bahan ini merupakan bahan yang sama terkandung di dalam pengubatan pil yang digunakan untuk tujuan cetusan sakit bersalin (induction of labour) oleh kebanyakan doktor.

Jadi, kemungkinan berlaku kontraksi pramatang atau kontraksi palsu jika hubungan kelamin dilakukan sebelum bayi matang.

“Perlu juga dimaklumkan bahawa tahap prostaglandin di dalam air mani tidak begitu tinggi sehingga begitu mudah boleh menyebabkan kontraksi setiap kali bersama suami.

“Jangan hairan, tetapi kaedah tradisional ini juga yang masih diamalkan untuk ibu hamil yang lebih hari untuk merangsang pembukaan pangkal rahim sebelum doktor menjalankan prosedur cetusan,” jelas beliau.

Selain faktor-faktor yang disebut di atas, keadaan lain di mana doktor melarang hubungan kelamin adalah jika ibu senang mengalami kontraksi pramatang dan kelahiran pramatang.

Lain-lain situasi termasuklah ibu mengandung kembar dan ibu yang hamil dan mengalami servikal yang tidak kompeten dan memerlukan pangkal rahim diikat seperti prosedur MacDonald’s stitch dan pemecahan air tetuban sebelum waktunya.

Larangan ini adalah untuk mengelakkan dari berlakunya kelahiran pramatang dan jangkitan selepas selaput tetuban pecah.

Akibat perubahan hormon, jelas Dr. Norleen, ibu-ibu turut mengalami kesan psikologikal dan mental yang agak ketara pada sesetengah kes.

“Umpamanya, awal mengandung bila si ibu mengalami mual dan muntah yang teruk. Apabila ini berlaku, mereka cenderung menyalahkan suami kerana menyebabkannya mengandung.

“Mood swing atau perubahan angin semasa hamil juga agak kerap terjadi. Kemudian, apabila bakal ibu tadi melihat perubahan bentuk badan, payu dara dan peningkatan berat badan, rasa rendah diri mereka terus menular,” katanya.

Keinginan seks juga, terang Dr. Norleen, boleh jadi berubah-ubah atas sebab perubahan hormon yang sama iaitu mungkin meningkat atau menurun.

Justeru, peranan suami untuk memberi perhatian yang lebih dan sokongan moral amat penting pada masa-masa ini.

Tambahnya: “Kejang anggota badan adalah salah satu gejala yang amat kerap menjadi aduan. Ini dapat dikurangkan dengan pengambilan suplemen kalsium.

“Gejala simpul biawak/mengkarung/ular adalah gejala kejang yang paling menyakitkan di mana masalah ini memang boleh berlaku semasa atau selepas hubungan kelamin atau semasa meneran di saat kelahiran bayi.”


Ditanya sama ada perlu dilakukan pengubahsuaian posisi, Dr. Norleen mengulas, di saat akhir kehamilan, dengan keadaan ibu yang tentunya sarat, posisi ibu di bawah masih merupakan yang paling selesa.

Walau bagaimanapun, posisi reverse missionary atau lateral (sisi) masih popular bagi mereka yang belum begitu sarat keadaannya.

“Jika tiada halangan dari aspek perubatan, tidak ada sebab kenapa hubungan kelamin tidak diteruskan kerana ikatan suami isteri akan lebih akrab sementara menunggu cahaya mata yang bakal lahir.

“Perasaan negatif di mana ibu sering berasa dirinya sudah tidak cantik akan secara semula jadi ditepis dan saat ini perlu digunakan sepenuhnya oleh si suami untuk membelai dan memanjakan isteri,” katanya.

Namun, kekerapan menjalin hubungan kelamin semasa hamil tidak berkaitan secara langsung dengan susah atau senangnya proses kelahiran ibu kerana banyak faktor lain yang akan menyumbangkan seperti saiz pelvis ibu, berat anak dan kedudukan kepala anak.

Selepas kelahiran, dari aspek perubatan juga keperluan agama, tempoh pantang adalah selama lebih kurang 40 hingga 44 hari.

Amal ibadat serta hubungan kelamin boleh diteruskan selepas waktu ini melainkan jika darah nifas masih belum kering. Doktor akan pastikan ibu membuat rawatan susulan selepas sebulan dan kesihatan fizikal ibu akan dinilaikan masa ini.

Dr. Norleen membuat saranan berikut: “Pasangan suami isteri perlu berbincang sepanjang waktu hamil terutama mereka yang hamil buat pertama kali untuk mengenali perubahan pada ibu juga keperluan hubungan kelamin dan kekerapan.

“Semua ini patut diajukan kepada doktor berserta lain-lain kemusykilan sebagai persiapan tanpa rasa segan silu.”

Segala masalah peringkat awal kehamilan, boleh dikesan seawal enam minggu kehamilan. Jadi sejurus selepas kehamilan disahkan, buatlah temu janji dengan doktor agar masalah boleh dikesan dan ditangani dari awal kehamilan.

Teruskan bacaan......

Keluh kesah isteri kedua

Posted by Admin | 5:00 PM | | 0 comments »

Soalan:

SAYA isteri kedua kepada seorang lelaki berpendidikan tinggi. Madu saya juga berpendidikan tinggi dan berkerjaya profesional. Malangnya, selepas bertahun-tahun berkahwin, madu masih tidak mahu menerima saya walaupun saya cuba berbaik-baik dengannya. Malah, suami walaupun melayan saya dengan baik tetapi tidak pernah adil. Sepanjang berkahwin, saya berhari raya sendirian di kampung dengan keluarga manakala dia pulang ke kampungnya atau kampung madu. Madu juga selalu membuat tohmahan dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya.

Saya tidak tahu sampai bila keadaan saya berterusan seperti ini. Hendak dikatakan tidak mendapat restu orang tua, saya dinikahkan dengan baik, berwalikan ayah dan dibuat di kampung dengan besar-besaran. Saya pernah bercakap dengan suami mengenai perkara ini, tetapi dia tidak berubah, lebih-lebih lagi perkahwinan saya tidak dikurniakan cahaya mata, mungkin saya terlalu tertekan dengan semua ini. Suami terlalu menjaga hati madu hingga mengabaikan hak saya sebagai isteri, walaupun saya ini isteri kedua. Puan, apakah yang terbaik buat saya dalam situasi ini?

Jawapan:

Persoalan puan mendorong saya untuk melihat ketetapan Qada’ dan Qadar yang dipaparkan pada kita semua iaitu “tiada suatu bencana yang menimpa di bumi dan tidak pula pada dirimu sendiri, melainkan ia sudah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya”.

Daripada penjelasan Allah ini, anda tidak perlu menyesali apa yang berlaku. Menjadi isteri kedua adalah bermakna memperjudikan kehidupan yang tidak habis-habis sehingga anda melepaskan jawatan itu. Secara rela atau terpaksa atau dalam erti kata lain anda undur diri daripada masalah berkenaan. Bila bersetuju menjadi isteri kedua bermakna anda sudah bersedia menelan madu yang paling pahit di dunia, bersedia mendapat serba kekurangan daripada segala aspek, berbanding isteri pertama dalam apa bentuk sekali pun sama ada dari segi layanan, giliran, hal dan perhatian keadilan malah dari segi harta benda sekalipun. Sebab itu wanita yang berjaya memegang “jawatan” ini dengan tenteram ialah yang bersedia mendapat sedikit daripada bahagian dan haknya sebagai isteri kedua.

Sebab itu ramai isteri undur diri kerana tidak mampu mempertahankan mahligai perkahwinan yang ibarat menghidupkan api di atas gelombang. Keadaan ini berlaku kerana sebahagian daripada suami belum terdidik dari segi ilmu dan kemahiran serta pantang larang dan kewajipan yang perlu dilaksanakan selepas berpoligami.

Satu yang dibenarkan Allah demi jutaan hikmat di sebaliknya akhirnya bertukar menjadi ibarat berjalan di atas bara api, timbul pembohongan dan ketidakadilan yang sangat menghina peraturan dianugerahkan oleh Allah.

Lalu menimbulkan banyak pandangan negatif terhadap mereka yang berpoligami, dan tertutup keindahan yang dibekal Allah melalui kebenaran berpoligami itu. Bila ini terjadi perkahwinan menjadi satu kesengsaraan dan hilanglah kenikmatan yang Allah anugerahkan bersama perintah berkahwin dan berpoligami. Dalam keadaan anda sekarang, Umi nasihatkan belajar membina sikap fitrah, iaitu reda dengan apa yang Allah sudah takdirkan buat anda. Allah tidak akan mengubah nasib kecuali anda mengubahnya. Menangisi nasib dan menyalahkan orang lain tidak akan mengubah apa-apa.

Maka nasihat Umi supaya belajar menganalisis diri dengan mengurus minda supaya tidak berfikiran negatif terhadap suami dan sesiapa saja. Selagi berfikiran seperti itu, perasaan anda tidak akan tenteram dan damai. Oleh itu, setiap hari semak apa yang sedang anda fikirkan dengan menyoal diri: “apa yang aku fakir sekarang” jika anda belum dapat mengesan sebarang jawapan bermakna anda dalam keadaan berserabut, jika keadaan ini berlaku anda tidak akan mampu menggembirakan diri.

Orang yang tidak gembira adalah orang yang paling sulit meneruskan kehidupan kerana 70 peratus tenaga untuk menggerakkan kita ialah perasaan positif. Perasaan ini membuat anda kelihatan ceria dan sihat. Dua sikap ini akan diraih jika anda mahu meneruskan hidup dengan gembira walaupun banyak cabaran melanda. Semua duka lara dan kesedihan tidak dapat dirawat oleh sesiapa pun kecuali anda sendiri.

Tidak ada orang lain yang anda boleh harapkan untuk membuat anda gembira kerana gembira itu datangnya daripada hati. Kegembiraan yang dibina dari luar tidak akan bertahan lama, bila anda bersendirian duka nestapa menyerang semula. Pada Umi anda wajar bersyukur kerana dapat kesempatan menjadi isteri walaupun dianaktirikan.

Balik kampung sendirian bukan satu kekurangan kecuali jika anda mahu menunjuk-nunjuk. Anda tidak tahu berapa ramai isteri yang punya suami di samping tapi berendam air mata pada hari raya. Anda seorang diri, boleh memilih cara mana untuk bergembira di samping keluarga tersayang. Suami balik ke rumah madu, wajar mereka sudah lama berkahwin.

Teruskan bacaan......

Kahwin kerana nafsu, jahil ilmu rumah tangga punca retak

Posted by Admin | 7:22 AM | | 0 comments »

PERKAHWINAN hanya untuk melepaskan nafsu dan perkataan cerai dijadikan mainan dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan perceraian di kalangan suami isteri berusia muda.

“Mereka sebenarnya tidak memahami tujuan perkahwinan,” kata perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Katanya, ramai remaja dan pasangan muda mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan alasan tidak mahu bergelumang dosa, sedangkan ketika itu mereka tidak mempunyai ilmu perkahwinan.

“Jahil terhadap ilmu berumahtangga itulah yang menjadi punca utama kepada perceraian di kalangan pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga,” kata beliau yang juga Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin).

Malah, katanya, tempoh percintaan yang lama bukan penentu perkahwinan yang dibina kekal hingga ke hujung nyawa.

Tengku Asmadi berkata, sikap berterus terang, termasuk menjelaskan sejarah cinta lama masing-masing sebelum bersatu dengan pasangan yang dinikahi menjadi faktor penting dalam mengukuhkan hubungan suami isteri.

“Dalam kehidupan sekarang, kita tidak nafikan sebelum berkahwin masing-masing bercinta dengan orang lain. Ada kes, ketika bersatu sebagai suami isteri barulah rahsia sebelum ini terbuka.

“Ada suami berasa tertipu apabila mendapati isteri yang disangka suci sudah tiada dara lagi pada malam pertama dan apabila suami tidak boleh menerima kenyataan, tercetuslah pergaduhan sehingga membawa kepada perceraian,” katanya.

Berselindung di sebalik perbuatan baik ketika di alam percintaan juga boleh menjadi punca perceraian di kalangan pasangan baru berkahwin.

“Ramai pasangan bercinta berlagak baik demi menarik perhatian si kekasih. Apabila berkahwin dan duduk serumah, perkara negatif yang sebelum ini tidak pernah ditunjukkan tiba-tiba kelihatan, menyebabkan timbul rasa jelik atau benci.

“Ketika ini perlu ada kesediaan menerima pasangan seadanya kerana sebelum berkahwin kita melihat nilai positif di dalam diri pasangan, jadi kenapa selepas berkahwin kita tidak boleh menerima keburukan pasangan. Hargai kekurangan yang ada dan pada masa sama berseronoklah dengan persamaan yang wujud,” katanya.

Tengku Asmadi berkata, ketika awal pernikahan, cara berkomunikasi memainkan peranan utama dalam menentukan kerukunan rumah tangga berkekalan.

“Perlu diingat, setiap orang tidak suka jika sentiasa dipersalahkan dalam apa jua perkara. Justeru, amat penting pasangan yang baru berkahwin bersama-sama mengubah kekurangan diri dan berjanji untuk menjadi yang terbaik. Berilah masa kepada pasangan untuk mencari titik pertemuan dan persefahaman.

“Bagaimanapun, ada pasangan yang tidak dapat menerima kekurangan ketara pada pasangan sehingga membawa kepada perceraian pada awal usia perkahwinan. Misalnya, suami yang selama ini dirasakan mampu membimbing ke arah kebaikan berubah sikap tidak seperti diharapkan atau ada suami yang langsung tidak memberi nafkah.

“Ketika itu, pasangan perlu bersikap rasional demi mengelakkan perceraian kerana kita tidak boleh berputus asa terhadap mahligai yang dibina kerana perceraian adalah perkara halal paling tidak disukai Allah,” katanya.

Selain itu, pasangan muda sering dikaitkan dengan darah muda atau tidak sabar sehinggakan perkataan cerai mudah dilafazkan tatkala berlaku perselisihan faham kecil.

“Pesan saya, perkataan pertama yang perlu dipadamkan terus daripada fikiran seorang suami ialah cerai kerana ia menandakan anda sememangnya ingin memberikan komitmen penuh untuk menjayakan sesebuah perkahwinan.

“Pasangan muda sekarang tidak nampak impak perceraian kerana mereka tidak memikirkan soal tanggungjawab, selain tidak mendalami ilmu pernikahan sehinggakan mereka berani mempermainkan perkataan cerai itu sendiri,” katanya

Tengku Asmadi berkata, modul kursus praperkahwinan yang ada untuk bakal pengantin diteliti semula dengan menekankan pelbagai elemen baru terutama yang membabitkan ilmu rumah tangga.

“Lebih elok jika tempoh kursus dilanjutkan supaya bakal suami dan isteri dapat belajar banyak perkara dan ilmu yang diajar benar-benar berkesan di hati,” katanya.

Teruskan bacaan......

Kesan telan air mani sendiri

Posted by Admin | 8:41 PM | , | 0 comments »

SAYA seorang yang mempunyai keinginan seks yang tinggi serta tabiat pelik. Untuk mencapai klimaks, saya gemar menelan air mani sendiri. Persoalan saya, apakah kesannya jika kita menelan air mani sendiri? Apakah ada kemudaratan pada jangka masa panjang? Saya juga gemar melakukan seks oral. Apakah keburukan tabiat ini? Ingin Tahu, Petaling Jaya.

Tidak ada sebarang masalah jika saudara menelan air mani. Ini kerana air mani adalah hasil sekresi kelenjar prostat dan kelenjar seminal vesicle.

Antara kandungan air mani adalah zink, asid sitrik, phosphatase dan protein. Ia tidak menimbulkan apa apa kemudaratan walaupun pada jangka masa panjang.

Ketika saudara melakukan oral seks, saudara perlu mengambil beberapa langkah untuk mengelak dijangkiti penyakit jangkitan transmisi seks (STD). Ini adalah kerana ada beberapa jenis penyakit STD yang boleh menular dengan cara oral seks.

Antaranya ialah gonnorea, herpes, human papiloma virus (HPV)dan juga syphilis. Ada beberapa laporan menyatakan penyakit HIV boleh dijangkiti dengan cara seks oral walaupun risikonya agak rendah.

Pastikan saudara mengenali pasangan saudara itu. Perlu dinyatakan risiko mendapat STD akan menjadi lebih tinggi sekiranya ejakulasi berlaku di dalam mulut atau terkena permukaan yang dilapisi mukosa seperti mata. Ada juga pelbagai kondom yang berperisa boleh didapati di pasaran.

Teruskan bacaan......

Gagal kawal perasaan ketika laku hubungan seks

Posted by Admin | 10:48 PM | , | 0 comments »

SAYA sering gagal mengawal perasaan ketika melakukan hubungan seks. Saya cepat ghairah hingga gagal mengawal ejakulasi. Apakah ini ada kaitannya dengan faktor genetik?

Alex, Pulau Pinang
Jawapan

Masalah ejakulasi pra-matang yang saudara hadapi bukan berpunca dari faktor genetik. Sebahagian besarnya berpunca dari masalah psikologi. Ia kerap terjadi kepada golongan remaja atau lelaki yang belum mahir dalam teknik mengawal ejakulasi.

Faktor seperti masalah hubungan suami-isteri, stress, kemurungan, terlampau ghairah, rasa bersalah semasa melakukan hubungan seks dan tidak ada keyakinan diri kerap menyumbang kepada terjadinya ejakuasi pra matang.

Masalah seperti ini sudah semestinya akan memyebabkan ketegangan dan menjejaskan hubungan saudara dan pasangan. Saya nasihatkan saudara berjumpa pakar urologi untuk membantu saudara dalam menangani masalah ini. Rawatan yang diberikan selalunya bermula dengan rawatan secara psikologikal dan cara mengawal ejakulasi.

Kaedah seperti 'start stop technique', teknik memicit kepala zakar sebelum klimaks, 'sensate focus' akan diajar dan teknik ini memerlukan kerjasama dan komitmen dari pasangan saudara. Saudara juga boleh melakukan cara seperti mastubasi sejam hingga dua jam sebelum hubungan seks atau memberi tumpuan yang lebih kepada 'fore play' sebelum penetrasi.

Selain dari itu pengunaan krim anastetik topical seperti 'lignocaine gel' yang disapu kepada kepala zakar sebelum hubungan seksual boleh juga dicuba. Sekiranya gagal, ubat dari kumpulan SSRI seperti Prozac, Zoloft akan diberikan kepada saudara .

Bagaimanapun, ubat ini mempunyai beberapa kesan sampingan dan pengambilannya memerlukan pengawasan doktor.

Teruskan bacaan......