Keluh kesah isteri kedua

Posted by Admin | 5:00 PM | | 0 comments »

Soalan:

SAYA isteri kedua kepada seorang lelaki berpendidikan tinggi. Madu saya juga berpendidikan tinggi dan berkerjaya profesional. Malangnya, selepas bertahun-tahun berkahwin, madu masih tidak mahu menerima saya walaupun saya cuba berbaik-baik dengannya. Malah, suami walaupun melayan saya dengan baik tetapi tidak pernah adil. Sepanjang berkahwin, saya berhari raya sendirian di kampung dengan keluarga manakala dia pulang ke kampungnya atau kampung madu. Madu juga selalu membuat tohmahan dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya.

Saya tidak tahu sampai bila keadaan saya berterusan seperti ini. Hendak dikatakan tidak mendapat restu orang tua, saya dinikahkan dengan baik, berwalikan ayah dan dibuat di kampung dengan besar-besaran. Saya pernah bercakap dengan suami mengenai perkara ini, tetapi dia tidak berubah, lebih-lebih lagi perkahwinan saya tidak dikurniakan cahaya mata, mungkin saya terlalu tertekan dengan semua ini. Suami terlalu menjaga hati madu hingga mengabaikan hak saya sebagai isteri, walaupun saya ini isteri kedua. Puan, apakah yang terbaik buat saya dalam situasi ini?

Jawapan:

Persoalan puan mendorong saya untuk melihat ketetapan Qada’ dan Qadar yang dipaparkan pada kita semua iaitu “tiada suatu bencana yang menimpa di bumi dan tidak pula pada dirimu sendiri, melainkan ia sudah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya”.

Daripada penjelasan Allah ini, anda tidak perlu menyesali apa yang berlaku. Menjadi isteri kedua adalah bermakna memperjudikan kehidupan yang tidak habis-habis sehingga anda melepaskan jawatan itu. Secara rela atau terpaksa atau dalam erti kata lain anda undur diri daripada masalah berkenaan. Bila bersetuju menjadi isteri kedua bermakna anda sudah bersedia menelan madu yang paling pahit di dunia, bersedia mendapat serba kekurangan daripada segala aspek, berbanding isteri pertama dalam apa bentuk sekali pun sama ada dari segi layanan, giliran, hal dan perhatian keadilan malah dari segi harta benda sekalipun. Sebab itu wanita yang berjaya memegang “jawatan” ini dengan tenteram ialah yang bersedia mendapat sedikit daripada bahagian dan haknya sebagai isteri kedua.

Sebab itu ramai isteri undur diri kerana tidak mampu mempertahankan mahligai perkahwinan yang ibarat menghidupkan api di atas gelombang. Keadaan ini berlaku kerana sebahagian daripada suami belum terdidik dari segi ilmu dan kemahiran serta pantang larang dan kewajipan yang perlu dilaksanakan selepas berpoligami.

Satu yang dibenarkan Allah demi jutaan hikmat di sebaliknya akhirnya bertukar menjadi ibarat berjalan di atas bara api, timbul pembohongan dan ketidakadilan yang sangat menghina peraturan dianugerahkan oleh Allah.

Lalu menimbulkan banyak pandangan negatif terhadap mereka yang berpoligami, dan tertutup keindahan yang dibekal Allah melalui kebenaran berpoligami itu. Bila ini terjadi perkahwinan menjadi satu kesengsaraan dan hilanglah kenikmatan yang Allah anugerahkan bersama perintah berkahwin dan berpoligami. Dalam keadaan anda sekarang, Umi nasihatkan belajar membina sikap fitrah, iaitu reda dengan apa yang Allah sudah takdirkan buat anda. Allah tidak akan mengubah nasib kecuali anda mengubahnya. Menangisi nasib dan menyalahkan orang lain tidak akan mengubah apa-apa.

Maka nasihat Umi supaya belajar menganalisis diri dengan mengurus minda supaya tidak berfikiran negatif terhadap suami dan sesiapa saja. Selagi berfikiran seperti itu, perasaan anda tidak akan tenteram dan damai. Oleh itu, setiap hari semak apa yang sedang anda fikirkan dengan menyoal diri: “apa yang aku fakir sekarang” jika anda belum dapat mengesan sebarang jawapan bermakna anda dalam keadaan berserabut, jika keadaan ini berlaku anda tidak akan mampu menggembirakan diri.

Orang yang tidak gembira adalah orang yang paling sulit meneruskan kehidupan kerana 70 peratus tenaga untuk menggerakkan kita ialah perasaan positif. Perasaan ini membuat anda kelihatan ceria dan sihat. Dua sikap ini akan diraih jika anda mahu meneruskan hidup dengan gembira walaupun banyak cabaran melanda. Semua duka lara dan kesedihan tidak dapat dirawat oleh sesiapa pun kecuali anda sendiri.

Tidak ada orang lain yang anda boleh harapkan untuk membuat anda gembira kerana gembira itu datangnya daripada hati. Kegembiraan yang dibina dari luar tidak akan bertahan lama, bila anda bersendirian duka nestapa menyerang semula. Pada Umi anda wajar bersyukur kerana dapat kesempatan menjadi isteri walaupun dianaktirikan.

Balik kampung sendirian bukan satu kekurangan kecuali jika anda mahu menunjuk-nunjuk. Anda tidak tahu berapa ramai isteri yang punya suami di samping tapi berendam air mata pada hari raya. Anda seorang diri, boleh memilih cara mana untuk bergembira di samping keluarga tersayang. Suami balik ke rumah madu, wajar mereka sudah lama berkahwin.

0 comments