Wanita terlanjur buntu pilih kekasih

Posted by Admin | 5:05 PM | 1 comments »

SOALAN

SAYA seorang kerani di syarikat swasta dan berusia 21 tahun. Saya mempunyai masalah peribadi yang kadangkala mengganggu kerjaya dan kehidupan seharian.


Saya menjalinkan hubungan dengan kekasih selama enam tahun. Dia seorang yang prihatin dan mempunyai ciri lelaki idaman saya. Dia juga jujur dan setia namun ada kala perangainya membuatkan saya berkecil hati dan kecewa dengan sikap egonya.

Akibat keterlanjuran, saya pernah menggugurkan kandungan dua tahun lalu. Saya juga sudah banyak kali terlanjur dengan beberapa lelaki termasuk bersama abang angkat saya sendiri, Fahmi (bukan nama sebenar).

Fahmi pula sudah mempunyai kekasih yang juga kakak angkat saya. Hubungan saya dengan Fahmi rapat dan sudah beberapa kali kami terlanjur.

Fahmi terlalu menyayangi saya dan begitu juga perasaan saya padanya. Dia begitu ikhlas sepanjang perkenalan kami dan dia lebih mementingkan saya berbanding kekasihnya.

Sepanjang kami berkawan, banyak perkara menghantui saya. Ada yang menggelar saya sebagai perampas namun saya hanya insan biasa. Disebabkan tidak tahan, saya mengambil keputusan untuk memutuskan perhubungan dengan Fahmi namun dia enggan kerana terlalu menyayangi saya.

Saya juga lebih selesa berkawan dengan Fahmi berbanding kekasih saya apatah lagi dia tidak pernah ambil hati dengan sikap panas baran saya. Sebenarnya, saya langsung tidak ada perasaan cinta terhadap Fahmi kerana hanya menyayanginya.

Saya cuba elak bertemu dengannya dan memberi pelbagai alasan namun gagal. Dia menyarankan saya meninggalkan kekasih saya tetapi buntu kerana masih menyayangi kekasih saya.

Apakah cara terbaik untuk saya meninggalkan Fahmi dan meneruskan perhubungan atas dasar kawan?

GADIS BUNTU,
Kuala Lumpur


JAWAPAN

TERIMA kasih kerana sudi berkongsi masalah. Dr memahami perasaan adik dan mengharapkan adik menemui sinar kebahagiaan dalam percintaan dan kehidupan.

Apa yang adik alami ibarat kata pepatah “teman percintaan ialah sayu dan pilu. Walaupun rasa percintaan lebih pahit daripada hempedu, dara dan teruna tetap berpusu-pusu terjerumus ke dalamnya kerana dianggap seperti lautan madu.”

Bukti cinta boleh menjerumuskan manusia ke dalam lautan madu ialah adik, Fahmi (bukan nama sebenar), kekasih adik dan kekasih Fahmi (kakak angkat adik) berhadapan dengan konflik, episod dan klimaks percintaan yang bukan saja membabitkan perasaan tetapi soal seksual serta perkara yang boleh membahayakan diri iaitu menggugurkan kandungan.

Tidak ketinggalan juga persoalan berkaitan perkara yang dibolehkan atau sebaliknya dari segi agama.

Walaupun bercinta itu indah, ia tetap perlu kepada pedoman atau peraturan. Tanpa pedoman, cinta akan buta dan meraba-raba.

Berbalik kepada persoalan adik, Dr lihat sikap adik yang masih tidak jelas dengan perasaan sendiri boleh mengelirukan dan menyukarkan sesuatu keputusan dibuat. Sebagai contoh, adik menyatakan tidak mencintai Fahmi tetapi terlalu menyayanginya.

Adik juga menyatakan adik mahu meneruskan perhubungan dengan Fahmi hanya atas dasar kawan dan lebih selesa berkawan dengan Fahmi berbanding kekasih. Adik ingin meninggalkan Fahmi tetapi masih tidak berani melakukannya kerana sering dipujuk rayu.

Kata-kata adik adalah antara “mahu dan tidak”. Persoalannya, apakah sebenarnya yang adik inginkan dalam perhubungan adik dengan Fahmi dan kekasih? Siapakah lelaki pilihan adik? Apakah matlamat adik dalam menjalinkan perhubungan dengan kedua-dua lelaki ini?

Tiada siapa boleh menjawab persoalan ini kecuali adik sendiri. Justeru, adik perlu jelas dan memahami diri sendiri untuk membuat keputusan tepat dalam memilih lelaki yang sebenarnya bertakhta dalam diri adik.

Tindakan adik ada kalanya memberi isyarat yang salah kepada kekasih dan Fahmi. Mereka mungkin punya harapan dalam perhubungan dengan adik.

Tingkah laku adik yang tidak menggambarkan apa yang diinginkan dan lemah dengan pujuk rayu kemungkinan memberi isyarat tidak jelas kepada kedua-dua lelaki penting dalam hidup adik.

Adik seolah-olah mahu memiliki kedua-duanya namun adik perlu membuat pilihan. Pepatah ada mengatakan, cinta itu apabila kamu bertemu dan buatlah pilihan yang tepat.

Jika adik memilih salah seorang daripada mereka, sebaik-baiknya tidak ada lagi jalinan hubungan dengan lelaki lain. Adik mesti kuat untuk meninggalkan salah seorang daripada mereka.

Adik juga harus kuat untuk menahan diri daripada melakukan hubungan seksual dengan lelaki lain. Seperti yang adik nyatakan, adik pernah melakukan hubungan seks dengan beberapa lelaki termasuk kekasih dan Fahmi. Mempunyai hubungan seks dengan beberapa lelaki membawa kesan yang tidak baik. Dari segi agama, perbuatan zina dilarang.

Jika pilihan sudah dibuat, adik mesti sanggup menerima kesan daripada pilihan adik itu. Adik tidak perlu berpura-pura kerana cinta yang terselit pendustaan ibarat kehidupan yang bercampur gaul dengan penghinaan.

Dr doakan adik akan menemui cinta sejati dan cinta yang penuh sinaran bahagia serta berpandukan kepada jalan yang benar. Semoga cinta adik nanti tidak disalut dengan dosa dan noda. Semoga berjaya.

1 comments

  1. Unknown // April 18, 2009 at 11:52 PM  

    Salam.

    Dari nama samaran yang adik berikan kepada abang angkat adik itu, uncle berkesimpulan adik adalah Melayu dan Islam.

    Pertama adik perlu bertaubat dan berikrar tidak akan melakukan lagi keterlanjuran itu. Allah Maha Pengampun.

    Kedua Fahmi sebenarnya bukanlah lelaki yang terbaik kerana sanggup menodai adik yang menyayanginya. Adik adalah sebenarnya korban kepercayaan dan rasa sayang.

    Ketiga, tentang kekasih adik itu uncle tidak boleh komen sebab apa yang adik nyatakan tidak jelas tentang peribadi dan apa yang berlaku di antara adik dan dia.