Aboy 'eratkan' kasih Zamarul dan Diana

Posted by Admin | 8:34 PM | | 0 comments »

SUDAH cukup lama hubungan cinta yang terjalin antara dua pelakon ini. Malah dalam tempoh lapan tahun menyulam kasih, Zamarul Hisham, 38, dan Diana Rafar, 27, tidak terlepas berdepan dengan pelbagai onak ranjau yang cuba menggugat keutuhan cinta mereka.

Paling hangat diperkatakan tidak lama dulu ialah 'kontroversi' cinta tiga segi Diana yang telah dikaitkan dengan penyanyi sensasi, Mawi. Namun, dugaan demi dugaan yang singgah itu sebenarnya telah menguatkan lagi hubungan suci Zamarul dan Diana.

Akhirnya, pada tanggal 16 Mei lalu, pasangan ini selamat diijabkabulkan dan sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz oleh Zamarul di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

"Saya bersyukur, lega dan amat gembira kerana akhirnya kami disatukan juga setelah lapan tahun mempertahankan benteng hubungan ini.

"Memang ini adalah tarikh yang istimewa buat saya. Malah, angka 165 itu ada makna tersirat kerana ia membawa maksud satu ihsan, enam rukun Iman dan lima rukun Islam.

"Angka itu yang memberi kekuatan kepada kami. Dan sebab itu, kami memilih tarikh 16 Mei serta mas kahwin RM165 dan wang hantaran, RM16,500," kata Zamarul yang kelihatan cukup sebak sebaik akad nikah itu selesai.

Menurut duda anak dua ini lagi, dia merasakan sudah sampai masanya untuk melamar kekasih hatinya itu, lebih-lebih lagi setelah mereka menghadiri sebuah kursus pada awal tahun ini.


"Kursus motivasi itu sebenarnya telah mengeratkan lagi hubungan kami dan dari situlah saya yakin memang dialah (Diana) orangnya yang ingin saya jadikan sebagai isteri.

"Kepada Mama (Diana), Papa ingin ucapkan terima kasih kerana memahami diri Papa selama ini. Kita berjaya bertahan juga walaupun ada yang cuba robohkan hubungan kita," tutur Zamarul.


Diana juga turut memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar dan kini sah bergelar isteri kepada Zamarul.

"Selama lapan tahun ini, dia seorang yang amat mengambil berat tentang saya. Apa yang saya harapkan, semua yang diberikannya selama tempoh itu tidak akan berubah selepas ini," tutur Diana.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Diana yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Shahril Nordin turut menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pihaknya.

Momen bersejarah pasangan mempelai itu juga disaksikan oleh kira-kira 100 orang tetamu termasuklah ibu Diana, Zainon Abd Rahman, ibubapa Zamarul iaitu Mohammad Mohd Zain dan Zaleha Abd Rahman serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang lain dan kenalan rapat mereka.

Malah, dalam nada ceria, Zamarul berkata, perkahwinan itu turut direstui oleh anak-anaknya iaitu Izzat Haiqal, 10, dan Iqmal Haiqal, 7. Malah, anak sulungnya, Izzat, yang turut hadir pada majlis itu juga sebenarnya amat rapat dengan Diana yang dipanggil Mama itu.

"Izzat ni ibarat 'kawan baik' Diana. Memang dia mahukan sangat kami berkahwin. Malah, dia asyik bertanya bila dia akan dapat adik baru," katanya yang menambah, dia dan Diana memilih cara berbulan madu dengan mengerjakan umrah tidak lama lagi.

Seperti mana Zamarul, Diana juga gembira dengan penerimaan Izzat terhadap dirinya. Bagi Diana, dia tidak kisah dengan status ibu 'segera' yang dipegangnya kini, apatah lagi hubungannya dengan Izzat yang dipanggil Aboy itu sememangnya cukup rapat.

"Sejak tahun pertama saya mengenali Zamarul, dia sudah kenalkan saya dengan Aboy yang memang berada di bawah jagaan ibu Zamarul sendiri. Keluarga saya juga menyenangi Aboy kerana wajahnya yang ada iras anak-anak buah saya yang lain.


"Malah, kalau antara saya dan Zamarul ada tercetus pergaduhan, Aboylah yang akan cuba merapatkan kami semula dengan pelbagai cara," kata Diana yang setakat ini belum pernah bertemu dengan anak kedua Zamarul yang berada di bawah jagaan bekas isterinya.

Perasaan gembira itu turut dikongsi dengan Aboy sendiri yang mengakui amat gembira kerana impiannya untuk melihat bapanya berkahwin dengan Diana sudah tercapai.

"Saya seronok sangat dapat Mama 'baru'. Mama (Diana) seorang yang baik. Dia selalu bawa saya berjalan-jalan. Saya doakan Papa dan Mama bahagia.

"Harap-harap saya akan dapat adik baru juga...kalau boleh, biarlah perempuan," kata Izzat yang merupakan pelajar tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Dua, Bandar Baru Bangi ini.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan pasangan ini kelak, kata Zamarul, dia dan Diana akan tetap meneruskan karier seni mereka seperti biasa selepas ini.

"Saya tetap berlakon dan turut beri lampu hijau untuk Diana teruskan karier seninya. Lagipun, kami sudah lama berada dalam industri ini.

"Tetapi jika sudah ada cahaya mata kelak, kenalah kami berbincang dan susun semula masa agar dapat diseimbangkan antara karier dan keluarga," kata Zamarul.

Selepas dinikahkan, pasangan ini turut diraikan pada majlis persandingan berkonsepkan 'garden wedding' pada sebelah malamnya di Bougainvilla Garden, Shah Alam manakala majlis resepsi di pihak pengantin lelaki pula akan diadakan pada 23 Mei di rumah keluarga Zamarul di Bangi.

0 comments