Wan Nor Azlin diberi sebulan bayar hutang

Posted by Admin | 10:52 PM | 0 comments »

PETALING JAYA - Seorang dramatis popular, Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain terpaksa menanggung sengsara akibat beban kewangan selepas ditinggalkan suami sejak tahun lalu.

Dia diberi tempoh sebulan oleh pihak bank bagi melunaskan tunggakan rumah selama tiga tahun berjumlah RM544,743.51 selain terpaksa memotong perbelanjaan harian termasuk persekolahan anak-anak.

“Bank beri tempoh sebulan untuk saya selesaikan kes,” kata dramatis itu ketika memberi keterangan kali pertama perbicaraan kes tuntutan nafkah sara diri dan anak-anak terhadap suaminya Mohd Yazli Yaacob, 38, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Untuk mengurangkan beban kewangan Wan Nor Azlin terpaksa memotong perbelanjaan tiga orang anaknya Danial Luqman, 8, Danny Iskandar, 7, dan Dania Camelia, 4, selain mengurangkan perbelanjaan diri sendiri.

Perbelanjaan anak-anak itu katanya termasuklah dari segi pendidikan, kesihatan, perbelanjaan harian dan pendidikan agama.

“Dulu dua anak saya bersekolah swasta tetapi sejak tiada suami, saya sudah tukarkan ke sekolah kerajaan. Tuisyen dan ustazah mengajar mengaji di rumah juga terpaksa diberhentikan sebab saya tidak mampu bayar,” katanya.

Dia yang diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hasan memberi keterangan di hadapan Hakim Syarie Ghazali Ahmad.

Perbicaraan kes diteruskan oleh sebelah pihak (Wan Nor Azlin) tanpa kehadiran defendan (Mohd Yazli) selepas lelaki itu gagal hadir sejak kes difailkan di mahkamah, 29 Oktober lalu.

Wan Nor Azlin, 40, (plaintif) memfailkan tuntutan nafkah sara diri dan anak-anak daripada Mohd Yazli selepas ditinggalkan tanpa sebarang berita.

Dalam pernyataan tuntutannya, dramatis tinggi lampai itu meminta RM5,000 sebagai perbelanjaan peribadi, RM2,000 bagi perbelanjaan rumah tangga, RM1,000 untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan RM500 sebulan untuk bayaran insurans peribadi.

Dalam pada itu, dia juga menuntut Mohd Yazli menjelaskan tunggakan pinjaman rumah, ansuran rumah RM3,500, ansuran kereta RM1,686, penyelenggaraan dua rumah di Damansara Indah Resort Homes dan Damansara Impian serta bil-bil semasa sebanyak RM500 setiap bulan.

Selain daripadanya pelakon terbabit mendakwa suaminya itu telah mengabaikan nafkah untuk dirinya dan tiga anak mereka serta telah tiga kali menghilangkan diri sejak 2001, selama dua tahun pada 2005 dan hilang semula sejak 10 Julai tahun lalu. Sehingga kini suaminya tiada khabar berita.

“Pada hari itu dia (suami) hendak ke pejabat seperti biasa dengan memakai pakaian kerja tetapi kemudian pergi tanpa kata-kata,” kata Wan Nor Azlin.

Sebelum ini media melaporkan kisahnya yang diganggu along secara menyimbah cat di kediamannya termasuk merosakkan kereta miliknya dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan lelaki itu.

Sementara itu Wan Nor Azlin yang ditemui selepas perbicaraan menyatakan pihak bank memberinya tempoh sehingga pertengahan bulan ini bagi melunaskan semua tunggakan rumahnya.

0 comments